Hakikat Planet Pluto


HILANGNYA TAKHTA PLUTO SEBAGAI SEBUAH PLANET.

19 tahun yang lalu iaitu tepatnya pada 24 Ogos 2006, Kesatuan Astronomi Antarabangsa ( IAU ) telah memutuskan bahawa Pluto bukan lagi sebuah Planet tetapi diklasifikasikan sebagai Planet Kerdil.
Pluto merupakan sebuah objek di lingkaran Kuiper yang pertama kali ditemukan pada 18 Februari 1930 oleh Clyde William Tombaugh.
Selama berpuluh tahun sejak pertama kali ditemukan, Pluto telah diiktiraf sebagai planet ke sembilan di dalam sistem suria kita. Walaubagaimanapun, segalanya mula berubah seiring dengan perkembangan teknologi cerapan angkasa. Taraf Pluto sebagai planet mula menjadi topik perdebatan dalam kalangan komuniti Astronomi apabila terdapat banyak objek lain yang mempunyai ciri hampir serupa seperti Pluto telah ditemukan di sekitar lingkaran Kuiper. Contohnya Eris dan Makemake yang telah diumumkan penemuannya pada tahun 2005.
Bagi menyelesaikan permasalahan tersebut, pada tahun 2006, pihak Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) telah mengambil keputusan menetapkan syarat baru bagi mengklasifikasikan sesebuah objek langit itu sebagai Planet. Kemudian ia memperkenalkan satu kelompok baru objek di dalam sistem suria iaitu 'Planet kerdil'.
Bagaimana sesuatu objek langit itu boleh diklasifikasikan sebagai sebuah Planet ?
Secara ringkasnya, untuk sesuatu objek langit itu boleh dikelaskan sebagai sebuah Planet, Kesatuan Astronomi Antarabangsa ( IAU ) telah meletakkan beberapa syarat :
i) Mengelilingi Matahari;
ii) Mempunyai jisim dan graviti yang mencukupi untuk mencapai keseimbangan hidrostatik (hampir bulat); dan
iii) Kawasan sekelilingnya bersih daripada sebarang objek-objek yang boleh mengganggu orbitnya.
Jika sesuatu objek langit (kecuali satelit semulajadi) hanya mampu memenuhi syarat (i) dan (ii) sahaja, maka ia akan dikelaskan sebagai Planet kerdil.
Contohnya: Pluto, Eris, Ceres, Makemake.
Manakala, objek-objek yang memenuhi hanya satu syarat sahaja iaitu syarat (i) akan dikelaskan sebagai 'Jasad Kecil Sistem Suria'.
Contohnya: Asteroid, Komet, Meteoroid.
Sejak syarat baru itu diperkenalkan, taraf Pluto sebagai Planet telah diturunkan kepada Planet kerdil oleh pihak Kesatuan Astronomi Antarabangsa ( IAU ) sehingga ke hari ini.
Kredit imej :-
NASA/Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory/Southwest Research Institute







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NASA : Parker mission

Botanic Garden Singapore

Expo Transformer