Satelit UZMASat-1
PUTRAJAYA: Satelit penderiaan jauh UzmaSAT-1, keluaran syarikat tempatan Uzma Berhad dilancarkan ke orbit rendah bumi awal pagi tadi menerusi roket Falcon 9 Transporter 12 milik syarikat SpaceX.
Pelancaran jam 3 pagi tadi waktu Malaysia di Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat menjadikan UzmaSAT-1 roket ke-13 yang berada di bawah pengawasan Malaysia.
Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan pagi ini berkata selaku peneraju Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), kementerian melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sentiasa komited dalam menyokong usaha pemain-pemain industri tempatan dalam meneroka aktiviti pembangunan sektor angkasa negara yang berdaya saing dan mampan.
Kejayaan pelancaran satelit keluaran UZMA Berhad ini adalah satu lagi petunjuk kepada kejayaan pelaksanaan DAN2030 yang dilancarkan pada tahun 2023.
UzmaSAT-1, sebuah satelit beresolusi tinggi seberat 45.4 kilogram dijangka mampu menyediakan data dan maklumat permukaan bumi negara bagi meningkatkan operasi pemantauan seterusnya memberi impak signifikan dalam memperkasa pengurusan sekuriti makanan, keselamatan dan pertahanan negara.
Menurut MOSTI, penggunaan infrastruktur negara sedia-ada melalui kerjasama strategik dalam aspek pengoperasian satelit berkenaan dijangka dapat mengoptimumkan lagi pengurusan imej-imej berkaitan Malaysia serta mampu meningkatkan kepelbagaian penggunaannya.
Kejayaan pelancaran dan pengoperasian UzmaSAT-1 ini adalah antara manifestasi terhadap penyertaan aktif pemain industri tempatan dalam aktiviti-aktiviti berkaitan angkasa yang mampu meningkatkan daya saing dan inovasi berterusan, menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta menyumbang kepada pembentukan sumber ekonomi angkasa baharu (new space economy) negara.


Ulasan
Catat Ulasan